Tuesday 25 October 2011

Mesra Rakyat Peringkat Daerah Kubang Pasu

YAB Menteri Besar Kedah akan turun padang bersama YB Exco, ADUN dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat ke DUN Kota Siputeh dalam Daerah Kubang Pasu. Program ini dinamakan Program Mesra Rakyat yang dianjurkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah. Ia merupakan siri lawatan pimpinan negeri untuk beramah mesra dan meninjau perkembangan hidup dari aspek ekonomi dan sosial masyarakat setempat. 

Dalam program tersebut, berbagai atur cara telah disusun atur di mana YAB Menteri Besar akan menyampaikan ucapan, memberi sumbangan Kafalah, bantuan pelajar masuk ke IPTA serta Bantuan Am daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kemudian, YAB Menteri Besar akan melawat tapak pameran yang disertai oleh agensi kerajaan dan swasta serta anak-anak syarikat kerajaan yang telah dikenalpasti. Seterusnya YAB Menteri Besar dan semua wakil rakyat akan menikmati jamuan rakyat di tapak perasmian program tersebut.

Selepas itu, YAB Menteri Besar akan melawat projek tanaman jagung secara berkelompok di Kampung Pering dan meninjau perkembangan produk kuih tradisional di Kampong Manggol Bongor. Dalam masa yang sama, semua wakil rakyat akan diagihkan mengikut mukim yang diketuai oleh Penghulu akan menziarahi rumah orang miskin, ibu tunggal dan OKU serta anak yatim di samping menyampaikan sumbangan. Pada sebelah petang pula, orang ramai berpeluang menyaksikan perlawanan bola sepak antara veteran Kedah (KFA) bertemu pasukan pilihan DUN Kota Siputeh yang sedang meningkat maju bagi merebut Piala YAB  Menteri Besar. 

Oleh itu, selaku Pengerusi Program Mesra Rakyat, saya mengalu-alukan kehadiran YAB Menteri Besar, Exco, ADUN dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat ke DUN Kota Siputeh. Saya juga mengharapkan kehadiran yang ramai di kalangan masyarakat setempat untuk hadir ke tapak perasmian sebagai tanda sokongan di atas kepimpinan YAB Dato Seri Ustaz Azizan sebagai Menteri Besar Kedah berjaya memimpin Negeri Kedah ke mercu kejayaan dakam tempoh 3 tahun 7 bulan.