Monday 21 November 2011

Program Mahligai Sejahtera 2011


Kerajaan Negeri Kedah menerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Keluarga, Wanita dan Kebajikan Masyarakat telah menganjurkan program Mahligai Sejahtera 2011 pada 20 November 2011 di Dewan Sri Mentalon. Program tersebut dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Kedah, Dato Seri Ustaz Azizan B Abdul Razak. Seramai 50 pasangan pengantin daripada seluruh daerah dalam negeri Kedah telah dipilih menyertai program tersebut.

Dalam ucapan perasmiannya, YAB Menteri Besar menekankan aspek amanah dan tanggungjawab yang berat yang harus dipikul oleh seorang lelaki setelah bergelar suami. Amanah ini sudah tentulah akan disoal oleh Allah swt di Akhirat nanti tentang sejauhmanakah peranannya dalam membentuk keluarga yang berlandaskan Syariat Islam dalam keadaan yang serba mencabar. Beliau turut menjelaskan bahawa program ini memberi manfaat kepada rakyat negeri Kedah khasnya bagi keluarga yang tidak bernasib baik di samping meringankan bebanan kewangan mereka apabila ingin menganjurkan kenduri kahwin.

Selepas menyampaikan ucapan perasmian, YAB Menteri Besar menyampaikan Sijil Penyertaan dan wang tunai RM 1000 setiap pasangan sebagai sumbangan untuk memulakan hidup baru sebagai suami isteri. Selepas itu, mereka bergambar kenangan bersama pasangan masing-masing dengan YAB Menteri Besar. Selepas itu, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan wakil waris diberi peluang untuk menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan di atas sumbangan kewangan dan majlis meraikan acara perkahwinan mereka oleh Kerajaan Negeri.