Tuesday 17 April 2012

Persidangan DUN Kedah terakhir sebelum PRU 13

Alor Setar, 17 Apr 2012

Persidangan DUN Kedah pada hari ini merupakan sidang DUN terakhir sebelum menjelang PRU 13. Boleh dikatakan semua YB beranggapan begitu termasuk Speaker, YB Dato Dr Abd Isa B Ismail sewaktu menangguhkan sidang dewan petang tadi.

Sepanjang persidangan tersebut, inilah persidangan sehari suntuk yang mengambil masa melebihi satu jam. Seperti mana biasa bagi persidangan DUN yang bukan melibatkan pembukaan dewan oleh KDYMM Tuanku Sultan dan pembentangan bajet tahunan, ia hanya mengambil masa satu jam sahaja yang melibatkan pertanyaan mulut. Itu sahaja. Kelaziman ini berlaku sejak zaman BN memerintah lagi dan diteruskan oleh PR sebagai amalan biasa yang tidak menyalahi peraturan dewan. 

Dalam persidangan tersebut, terdapat 2 rang undang-undang yang dibentangkan iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2012 dan Rang Undang-Undang Mufti dan Fatwa (Pindaan 2012) serta 2 usul iaitu Usul Peruntukan Khas kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah dan Elaun-Elaun Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan Usul Menjunjung Kasih di atas Pertabalan KDYMM Tuanku Sultan Kedah sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Ke 14. Sebahagian besar ADUN mengambil bahagian dalam membahas rang undang-undang dan usul-usul tersebut.

Apa yang menarik selepas berbahas, bertikam lidah dan berhujjah dengan fakta masing-masing, semua ADUN mengambil peluang untuk merakamkan gambar kenangan. Menurut ADUN Pengkalan Kundor, inilah kali pertama semua  ADUN bergambar bersama-[sama selepas sidang DUN di hadapan Dewan Undangan Negeri Kedah, Aras 3 Blok A, Wisma Darulaman.  Kurang lengkap bilangan ADUN dalam gambar tersebut yang hanya berjumlah 34 orang sahaja apabila ADUN Tanjung Dawai keluar awal dalam persidangan DUN kali ini untuk urusan rasmi kerajaan di luar negara dan ADUN Kuala Nerang yang telah hilang kelayakan disebabkan Jabatan Insolvensi Negeri Kedah mengisytiharkannya muflis. 

Begitulah senario politik di Kedah yang sungguh tidak terduga dan terjangka bila semua ADUN boleh duduk sekali dan makan bersama-sama. Namun begitu ada juga yang melahirkan rasa terharu dan sedih kerana ini mungkin kali terakhir sebagai ADUN bagi sesetengah di kalangan mereka yang mengakui bahawa ada di antara mereka yang akan dicalonkan semula dan ada yang ditamatkan kontrak. Tepuk dada tanya hati dan pasrah dengan realiti politik hari ini.