Tuesday 4 November 2014

Tuesday 17 April 2012

Persidangan DUN Kedah terakhir sebelum PRU 13

Alor Setar, 17 Apr 2012

Persidangan DUN Kedah pada hari ini merupakan sidang DUN terakhir sebelum menjelang PRU 13. Boleh dikatakan semua YB beranggapan begitu termasuk Speaker, YB Dato Dr Abd Isa B Ismail sewaktu menangguhkan sidang dewan petang tadi.

Sepanjang persidangan tersebut, inilah persidangan sehari suntuk yang mengambil masa melebihi satu jam. Seperti mana biasa bagi persidangan DUN yang bukan melibatkan pembukaan dewan oleh KDYMM Tuanku Sultan dan pembentangan bajet tahunan, ia hanya mengambil masa satu jam sahaja yang melibatkan pertanyaan mulut. Itu sahaja. Kelaziman ini berlaku sejak zaman BN memerintah lagi dan diteruskan oleh PR sebagai amalan biasa yang tidak menyalahi peraturan dewan. 

Dalam persidangan tersebut, terdapat 2 rang undang-undang yang dibentangkan iaitu Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2012 dan Rang Undang-Undang Mufti dan Fatwa (Pindaan 2012) serta 2 usul iaitu Usul Peruntukan Khas kepada Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah dan Elaun-Elaun Jemaah Pemangku Sultan Kedah dan Usul Menjunjung Kasih di atas Pertabalan KDYMM Tuanku Sultan Kedah sebagai Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong Ke 14. Sebahagian besar ADUN mengambil bahagian dalam membahas rang undang-undang dan usul-usul tersebut.

Apa yang menarik selepas berbahas, bertikam lidah dan berhujjah dengan fakta masing-masing, semua ADUN mengambil peluang untuk merakamkan gambar kenangan. Menurut ADUN Pengkalan Kundor, inilah kali pertama semua  ADUN bergambar bersama-[sama selepas sidang DUN di hadapan Dewan Undangan Negeri Kedah, Aras 3 Blok A, Wisma Darulaman.  Kurang lengkap bilangan ADUN dalam gambar tersebut yang hanya berjumlah 34 orang sahaja apabila ADUN Tanjung Dawai keluar awal dalam persidangan DUN kali ini untuk urusan rasmi kerajaan di luar negara dan ADUN Kuala Nerang yang telah hilang kelayakan disebabkan Jabatan Insolvensi Negeri Kedah mengisytiharkannya muflis. 

Begitulah senario politik di Kedah yang sungguh tidak terduga dan terjangka bila semua ADUN boleh duduk sekali dan makan bersama-sama. Namun begitu ada juga yang melahirkan rasa terharu dan sedih kerana ini mungkin kali terakhir sebagai ADUN bagi sesetengah di kalangan mereka yang mengakui bahawa ada di antara mereka yang akan dicalonkan semula dan ada yang ditamatkan kontrak. Tepuk dada tanya hati dan pasrah dengan realiti politik hari ini.                

Monday 21 November 2011

Program Mahligai Sejahtera 2011


Kerajaan Negeri Kedah menerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Keluarga, Wanita dan Kebajikan Masyarakat telah menganjurkan program Mahligai Sejahtera 2011 pada 20 November 2011 di Dewan Sri Mentalon. Program tersebut dirasmikan oleh YAB Menteri Besar Kedah, Dato Seri Ustaz Azizan B Abdul Razak. Seramai 50 pasangan pengantin daripada seluruh daerah dalam negeri Kedah telah dipilih menyertai program tersebut.

Dalam ucapan perasmiannya, YAB Menteri Besar menekankan aspek amanah dan tanggungjawab yang berat yang harus dipikul oleh seorang lelaki setelah bergelar suami. Amanah ini sudah tentulah akan disoal oleh Allah swt di Akhirat nanti tentang sejauhmanakah peranannya dalam membentuk keluarga yang berlandaskan Syariat Islam dalam keadaan yang serba mencabar. Beliau turut menjelaskan bahawa program ini memberi manfaat kepada rakyat negeri Kedah khasnya bagi keluarga yang tidak bernasib baik di samping meringankan bebanan kewangan mereka apabila ingin menganjurkan kenduri kahwin.

Selepas menyampaikan ucapan perasmian, YAB Menteri Besar menyampaikan Sijil Penyertaan dan wang tunai RM 1000 setiap pasangan sebagai sumbangan untuk memulakan hidup baru sebagai suami isteri. Selepas itu, mereka bergambar kenangan bersama pasangan masing-masing dengan YAB Menteri Besar. Selepas itu, pengantin lelaki, pengantin perempuan dan wakil waris diberi peluang untuk menyampaikan ucapan terima kasih dan penghargaan di atas sumbangan kewangan dan majlis meraikan acara perkahwinan mereka oleh Kerajaan Negeri.

Tuesday 25 October 2011

Mesra Rakyat Peringkat Daerah Kubang Pasu

YAB Menteri Besar Kedah akan turun padang bersama YB Exco, ADUN dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat ke DUN Kota Siputeh dalam Daerah Kubang Pasu. Program ini dinamakan Program Mesra Rakyat yang dianjurkan oleh Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kedah. Ia merupakan siri lawatan pimpinan negeri untuk beramah mesra dan meninjau perkembangan hidup dari aspek ekonomi dan sosial masyarakat setempat. 

Dalam program tersebut, berbagai atur cara telah disusun atur di mana YAB Menteri Besar akan menyampaikan ucapan, memberi sumbangan Kafalah, bantuan pelajar masuk ke IPTA serta Bantuan Am daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kemudian, YAB Menteri Besar akan melawat tapak pameran yang disertai oleh agensi kerajaan dan swasta serta anak-anak syarikat kerajaan yang telah dikenalpasti. Seterusnya YAB Menteri Besar dan semua wakil rakyat akan menikmati jamuan rakyat di tapak perasmian program tersebut.

Selepas itu, YAB Menteri Besar akan melawat projek tanaman jagung secara berkelompok di Kampung Pering dan meninjau perkembangan produk kuih tradisional di Kampong Manggol Bongor. Dalam masa yang sama, semua wakil rakyat akan diagihkan mengikut mukim yang diketuai oleh Penghulu akan menziarahi rumah orang miskin, ibu tunggal dan OKU serta anak yatim di samping menyampaikan sumbangan. Pada sebelah petang pula, orang ramai berpeluang menyaksikan perlawanan bola sepak antara veteran Kedah (KFA) bertemu pasukan pilihan DUN Kota Siputeh yang sedang meningkat maju bagi merebut Piala YAB  Menteri Besar. 

Oleh itu, selaku Pengerusi Program Mesra Rakyat, saya mengalu-alukan kehadiran YAB Menteri Besar, Exco, ADUN dan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat ke DUN Kota Siputeh. Saya juga mengharapkan kehadiran yang ramai di kalangan masyarakat setempat untuk hadir ke tapak perasmian sebagai tanda sokongan di atas kepimpinan YAB Dato Seri Ustaz Azizan sebagai Menteri Besar Kedah berjaya memimpin Negeri Kedah ke mercu kejayaan dakam tempoh 3 tahun 7 bulan.        

Tuesday 20 September 2011

Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2011

Majlis Anugerah Cemerlang Peringkat Negeri Kedah telah diadakan pada 19 September 2011 di Dewan Sultan Abdul Halim Muazzam Shah, Kolej Universiti Insaniah (KUIN). Majlis tersebut disempurnakan oleh YB Dato Hj Mohamed Taulan B Mat Rasul mewakili YAB Menteri Besar Kedah. Turut serta dalam majlis tersebut ialah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) YB Ust Hj Abd Ghani B Hj Ahmad dan YB Tan Choo Kang serta Rektor Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Prof Dato Wira Dr Jamil B Osman.

     
Dalam ucapannya, beliau menyatakan tujuan majlis tersebut dianjurkan adalah untuk meraikan pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan SPM, STPM dan STAM 2010 yang lalu. Kerajaan Negeri menyanjung tinggi usaha para ibu bapa dan waris pelajar yang rajin berusaha mendidik anak-anak agar berjaya dalam pelajaran. Kerajaan Negeri juga berharap kejayaan yang dikecapi haruslah cemerlang di dunia dan di akhirat, akademik dan akhlak, ilmu dan iman, politik, sosial, budaya dan ekonomi.

Beliau juga menegaskan bahawa kecemerlangan pendidikan adalah suatu aras yang paling tinggi dan sempurna yang diharapkan oleh semua pihak. Ia merujuk kepada konsep dan asas pemikiran yang bersifat holistik dan mantap, konsep kualiti pembangunan modal insan yang sebenar dan menyeluruh dan kecemerlangan dalam seluruh mata pelajaran.Namun begitu, Kerajaan Negeri memandang berat perkembangan modal insan yang berada di tahap parah iaitiu nisbah kelahiran anak-anak luar nikah semakin meningkat, rogol dan bunuh menjadi-jadi, budaya lucah, korupsi dan rasuah bertambah, politik porno dan penyebaran video lucah untuk mengaibkan orang politik semakin meruncing.

Walaupun Kerajaan Negeri menghadapi kekangan kewangan yang boleh membantutkan pencapaian pelajar, tiada bantuan daripada Kerajaan Pusat kepada Kerajaan Negeri, adanya diskriminasi Kerajaan Pusat dalam mengagihkan bantuan kewangan dari sudut pelajaran, para pelajar di Kedah masih berupaya merangkul kejayaan dalam peperiksaan hasil kerjasama para ibu bapa/waris, guru-guru dan para pelajar.

Sebagai tanda penghargaan di atas kejayaan mereka, Kerajaan Negeri telah mengadakan majlis tersebut dengan memberi hadiah wang tunai mengikut kategori peperiksaan. Seramai 344 orang pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan iaitu Hadiah Terbaik SPM Peringkat Daerah seramai 191 orang di mana setiap orang menerima wang tunai RM 200, Hadiah Terbaik STPM Peringkat Daerah seramai 52 orang dan Hadiah Terbaik STAM Peringkat Daerah seramai 101 orang masing-masing menerima wang tunai RM 250 setiap orang. Manakala Hadiah Cemerlang SPM Peringkat Negeri seramai 18 orang dengan wang tunai RM 250 setiap orang, Hadiah Cemerlang STPM Peringkat Negeri seramai 27 orang dan Hadiah Cemerlang STAM Peringkat Negeri seramai 37 orang masing-masing menerima wang tunai RM 300 setiap orang. Bantuan keseluruhan wang tunai yang dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri ialah RM 100,150.     

    

Wednesday 7 September 2011

Timbalan Menteri Besar : Gerakan Kedah cuba lagakan PAS

Mengapa Gerakan beriya-iya sangat nak suruh Kerajaan Negeri mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar Kedah ? Apakah Gerakan juga pernah membuat cadangan yang sama terhadap Menteri Besar terdahulu, Dato Seri Syed Razak B Syed Zain ketika beliau sakit strok penghujung tahun 2005 lalu ? Semua ini adalah helah politik Gerakan yang mahu kepimpinan Kerajaan Negeri tidak stabil dan cuba melaga-lagakan kepimpinan PAS yang mengetuai Kerajaan Negeri.  

Jika diteliti akbar Sinar Harian 6 September 2011, Ketua Pemuda Geraka ,Tan Keng Liang memberi 5 alasan mengapa perlu diwujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar Kedah. Isu  ini tercetus apabila sebuah akhbar telah melaporkan bahawa Menteri Besar sakit selepas menjalani rawatan di Institut Jantung Negara sejak 29 julai lalu dan perlu berehat panjang. Akhbar tersebut menyebut 3 nama sebagai bakal pengganti atau Pemangku Menteri Besar iaitu ADUN Pengkalan Kundor, ADUN Tokai dan ADUN Anak Bukit yang kesemuanya adalah Exco Kerajaan Negeri. 

Pada pandangan peribadi saya, Ketua Pemuda Gerakan tidak faham atau tidak tahu fasal-fasal yang terkandung dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Kedah. Eloknya beliau mengkaji dan mendalami terlebih dahulu sebelum  mengeluarkan sebarang kenyataan. Alasan menyamakan organisasi syarikat dan parti politik dengan Kerajaan tidaklah tepat kerana teori pentadbiran Kerajaan dengan teori pengurusan syarikat atau parti politik ada perbezaan yang ketara. Jika alasan sakit sebagai satu keperluan untuk mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar, sepatutnya beliau kena syorkan kepada semua negeri di Malaysia perlu meminda atau menggubal undang-undang baru untuk mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar. Sekarang ini ada negeri di bawah BN tidak mempunyai Timbalan Menteri Besar. 

Memang diakui bahawa tugas Menteri Besar banyak dan sibuk tetapi tugasan tersebut diagihkan kepada 10 orang exco sebagai pembantu Menteri Besar. Menteri Besar sendiri dalam kenyataannya menyebut bahawa pembantu beliau adalah Exco Kerajaan Negeri dan beliau berpuashati dengan prestasi semua exco yang menjalankan tugas masing-masing dengan baik semasa Menteri Besar berada di IJN. Tidak timbul buat masa ini untuk mewujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar Kedah kerana Menteri Besar sudahpun kembali bertugas seperti biasa. Mesyuarat exco dapat diadakan derngan baik dan kestabilan pentadbiran Kerajaan berjalan lancar. Tiada masalah pun. Yang menjadi masalah bagaimana nak timbulkan masalah kepada pemimpin PAS Kedah dan cuba melaga-laga sesama mereka. 

Dalam hal ini, saya dapati pemimpin PAS tidak pernah melatah dengan celoteh akhbar yang membincangkan isu ini. Bagi PAS, soal kepimpinan adalah amanah bukan suatu jawatan yang diimpikan untuk direbut dan bukan suatu platform untuk membina kekayaan. Tidak pernah Menteri Besar dan Exco di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat yang PAS mengetuainya memberi laluan mudah kepada mereka untuk mengaut khazanah negeri  demi kepentingan peribadi mereka. Buktinya tiada pemipin PAS yang pegang jawatan dalam Kerajaan pernah disabitkan atas kesalahan jenayah rasuah. Berbeza pula dengan pemimpin Barisan Nasional  yang saban waktu dilaporkan dalam media telah didakwa dan disabitkan bersalah atas kesalahan rasuah. Inilah etika kepimpinan yang diajar oleh Islam yang PAS jadikan sebagai dasar perjuangan dengan mengambil contoh sirah Rasulallah saw dan para sahabat baginda yang menjadi Khalifah Islam terdahulu.        

Friday 26 August 2011

Majlis berbuka puasa dan sumbangan YAB MB


Pejabat YAB Menteri Besar sekali lagi menganjurkan majlis berbuka puasa di kediamannya di Sri Mentalon pada 24 Ogos 2011. Kali ini tetamu undangan beliau ialah golongan ibu tunggal, anak-anak yatim, fakir miskin dan muallaf dari seluruh daerah. Seramai 27 penerima sumbangan telah dikenalpasti dalam seluruh DUN Negeri Kedah. Mereka menerima barangan keperluan hari raya dan wang tunai RM 150 setiap orang. YB Dato Ir Hj Phahrolrazi mewakili YAB Menteri Besar menyampaikan sumbangan. 



Exco Penerangan dan Pembangunan Usahawan Negeri Kedah, YB Ust Hj Abd Ghani b Hj Ahmad diberi penghormatan menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam DUN Ayer Hitam. Begitu juga bagi penerima dalam DUN masing-masing akan menerima daripada ADUN/EXCO yang hadir. Antara tetamu yang hadir  YB Dr Abdu Isa B Ismail, YB Dato Ir HJ Amirudin B Hamzah, YB Dato Mohd Taulan B Rasul, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Dato Anas B Ahmad Zakie serta ADUN/Ahli Parlimen dan Ahli Dewan  Negara.


YB Dato Ir Hj Phahrolrazi mewakili YAB Menteri Besar sedang menyampaikan tazkirah kepada hadirin. Beliau mengingatkan kepada semua pihak agar menunaikan kewajipan sebagai orang yang beriman dengan menghulurkan sumbangan kepada golongan yang tidak bernasib baik. Tiada bezanya antara orang kaya dengan orang miskin dan berpangkat tinggi atau rendah melainkan wujud perbezaan ialah hanya mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah sahaja.