Thursday 21 July 2011

Istiqbal Ramadhan : Sejauh manakah persediaan kita ?

Ramadhan 1432 H bakal menjenguk kita kira-kira 12 hari lagi. Masa berlalu pantas seolah-olah kita baru sahaja selesai mengerjakan ibadah Ramadhan 1431 H yang lalu. Inilah peringatan Allah kepada hambanya bahawa salah satu tanda hampir Qiamat ialah masa bergerak terlalu cepat. Meskipun begitu, apakah persediaan kita untuk menyambut ketibannya ? Sejauh manakah tahap keimanan kita untuk menerima kehadirannya dengan tenang dan lapang dada ? Semua ini akan terjawab apabila kita menerima kehadirannya dengan penuh tawadduk dan keimanan yang tinggi bahawa ianya adalah satu perintah Allah melalui Rukun Islam yang wajib kita amalkan.

Jika kehadiran Ramadhan disambut dengan gembira dan tawadduk kerana melaksanakan perintah Allah maka tidak timbul lagi perasaan ghaflah atau ragu tentang kewajipan berpuasa dengan tidak mengunjungi kedai-kedai makan di siang hari dan tidak boleh menghadiri pusat-pusat hiburan yang wujud di sana sini samada premis itu dipunyai oleh orang Islam atau orang bukan Islam. Salah satu kewajipan pemerintah apabila diberi kuasa untuk memerintah ialah memastikan semua orang Islam agar patuh serta taat kepada perintah Allah melalui bidangkuasa yang ada. Kuasa inilah yang diinginkan oleh kita yang meletakkan kuasa tersebut sebagai amanah Allah untuk merealisasikannya. 

Setinggi tahniah dan syabas kepada Kerajaan Negeri Kedah yang berjaya menguatkuasakan Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997 walaupun mendapat tentangan yang hebat daripada rakan dan lawan. Biar apapun cabaran yang mendatang, yang pasti sedikit ruang kuasa yang diizinkan Allah itu dapat kita jadikan sebagai contoh kepada negeri yang lain bahawa Kedah akan cuba melaksanakan Syariat Allah dalam konteks yang mampu dilaksanakan. 

Semoga Allah memberi kekuatan dan semangat yang kental kepada YAB Menteri Besar Kedah serta barisan exco dan wakil rakyatnya untuk berhadapan dengan rakyat yang kosmopolitan di bandar-bandar utama yang ada di Kedah.        

No comments:

Post a Comment