Monday 4 July 2011

Jangan jual makanan bermasak sebelum 3 petang bulan Ramadan

Ditulis oleh AMELIA HASHIM

ALOR SETAR, 28 Jun: Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menyediakan sebanyak 1,322 tapak untuk jualan makanan dan 233 tapak jualan pakaian dan barangan hiasan sempena bulan Ramadan ini.

Jumlah itu meliputi 14 lokasi Bazar Ramadan di sekitar Alor Setar dibuka untuk orang ramai yang berminat untuk berniaga sempena bulan puasa ini.

Demikian diberitahu Datuk Bandar Alor Setar Dato’ Khazali Din pada sidang media di pejabatnya.
“Orang ramai boleh mendapatkan borang permohonan di pejabat MBAS dan tarikh cabutan undi akan bermula pada 3 hingga 11 Julai ini,” katanya.

Pihak MBAS menasihatkan orang ramai supaya tidak menyewakan tapak yang diperolehi itu kepada pihak lain.

“Sesiapa yang berminat hendak menyewa tapak berkenaan bagi tujuan perniagaan hendaklah datang sendiri pada hari cabutan pada tarikh yang ditetapkan,” katanya.

Selain itu beliau juga menasihatkan pengusaha kedai makan di sekitar Alor Setar supaya mematuhi operasi perniagaan menjual makanan siap selepas pukul 3.00 petang di bulan Ramadan ini.

“Walau bagaimama proses menyediakan makanan dan persiapan gerai masing-masing dibolehkan sebelum jam 3.00 petang hanya larangan menjual dikuatkuasakan,” katanya.

Ujarnya lagi larangan itu dikecualikan bagi lima syarikat makanan segera yang dibenarkan menjalankan operasi seperti biasa iaitu Kentucky Fried Chicken, McDonald, Pizza Hutt, A&W dan Kenny Rogers.

No comments:

Post a Comment