Saturday 16 July 2011

Kaum Cina di Kedah tidak dinafikan hak untuk berhibur

Keputusan Kerajaan Negeri menguatkuasakan Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997 menjelang bulan Ramadhan telah menimbulkan salah tanggap di kalangan sesetengah pihak kaum Cina dan parti politik yang mewakili kaum Cina di Kedah. Bagi kaum Cina yang pro Kerajaan Pakatan Rakyat seharusnya duduk semeja dan mendapat penjelasan yang sebenar. Ini bertujuan untuk mengelakkan salah faham dan tidak mahu menjadikan akhbar sebagai polemik yang sentiasa berpanjangan sedangkan kita akan berhadapan PRU 13 pada bila-bila masa. Pihak Pembangkang cuba menangguk di air keroh seolah-olah menyokong Kerajaan Negeri sedangkan agenda jahat mereka hanyalah untuk melaga-lagakan pimpinan dan memecahbelahkan perpaduan  dalam Pakatan Rakyat di Kedah. Kita jangan mudah melatah.

Sebenarnya orang Cina bebas boleh makan, minum dan berhibur pada bila-bila masa selagi tidak bercanggah dengan undang-undang sedia ada. Kerajaan Negeri tidak berhasrat untuk menutup pintu rezeki mereka. Apa yang ingin dikuatkuasakan ialah larangan terhadap orang Islam sahaja. Orang Cina tidak terlibat sama sekali. Tauke Cina yang buka kedai kopi boleh buka kedai di bulan Ramadhan seperti biasa. Orang Islam dilarang makan pada waktu siang dan tidak boleh mengunjungi pusat-pusat hiburan. Apa masalahnya kepada orang Cina ? Apakah rezeki mereka hanya bergantung kepada orang Islam semata-mata?

Oleh itu, tindakan Kerajaan Negeri menghidupkan semula langkah penguatkuasaan Enakmen tersebut yang diputuskan di zaman Tan Sri Sanusi Junid sebagai Menteri Besar yang gagal dikuatkuasakan di zaman mereka memerintah adalah suatu penerusan tindakan sedia ada. Ini bukan enakmen baru. Ini bukan pindaan terhadap enakmen tersebut. Ini satu langkah yang baik dan mulia juga sebagai memenuhi kehendak orang Islam yang mahu bulan Ramadhan tidak dicemari dengan budaya negatif. Inilah harapan rakyat yang telah dipenuhi oleh Kerajaan Negeri. Syabas Kerajaan Negeri di atas langkah yang telah diambil untuk memperbetulkan segala kepincangan yang telah dilakukan oleh Kerajaan terdahulu.           

               

No comments:

Post a Comment