Tuesday 19 July 2011

Penyampaian Dana Teroka Usahawan PKNK

Pagi tadi saya telah dijemput untuk menyampaikan ucapan dan menyerahkan bantuan Dana Teroka Usahawan Kali 1/2011 di Tingkat ,7 Wisma PKNK, Alor Setar. Seramai 28 orang usahawan yang terpilih menerima bantuan tersebut dengan jumlah sebanyak RM 565,000.00. Kadar pinjaman tersebut antara RM 5,000 hingga RM 50,0000. Mulai 2011, PKNK telah memperuntukkan bantuan tersebut sebanyak RM 3 juta, 2010 sebanyak RM 2 juta, 2009 sebanyak RM 1.7 juta dan 2008 sebanyak RM 500,000.00.

Pinjaman ini diuruskan oleh PKNK iaitu sebuah organisasi kerajaan yang bertanggungjawab untuk memajukan sektor ekonomi negeri. Dalam hal ini, iniasitif telah diambil oleh PKNK untuk membantu para usahawan atau bakal usahawan yang ingin menceburi perniagaan tetapi tiada sumber kewangan iaitu modal untuk memulakan perniagaan. Pinjaman ini hanya diberikan kepada para usahawan yang gagal mendapat pinjaman atau tidak cukup syarat untuk membuat pinjaman dengan mana-mana institusi kewangan seperti SME Bank, Bank Pembangunan atau geran daripada kementerian berkaitan.

Usahawan yang berjaya dalam pinjaman ini hendaklah menggunakan pinjaman tersebut khusus untuk perniagaan sahaja dan tidak seharusnya menggunakan untuk tujuan yang lain seperti melangsaikan pinjaman, membeli kenderaan, mengubahsuai premis perniagaan atau sebagainya. Ini adalah penting untuk mendisiplinkan diri dalam membayar kembali pinjaman tersebut. Lagipun, niat untuk meminjam biarlah selari dengan niat untuk memajukan perniagaan. Sekiranya niat itu dialihkan untuk tujuan lain maka nescaya perniagaan kita tidak akan selamat dan maju jaya. Ini disebabkan tujuan yang lain itu akan menghancurkan minat untuk maju dalam perniagaan kerana pinjaman untuk dijadikan modal perniagaan sudah hilang dan tidak lagi dapat membantu meningkat perniagaan kerana tiada lagi wang.

Para usahawan diingatkan agar jangan lupa mengeluarkan zakat perniagaan kerana ini akan mendatangkan barakah dalam perniagaan. Di atas harta kepunyaan kita ada hak ke atasnya di kalangan saudara mara yang dhaif dan orang fakir miskin di persekitaran mereka. Jika mereka dibantu dengan hak yang wajib diperolehi atas harta kita maka mereka juga boleh membangunkan diri mereka dalam kehidupan seterusnya berupaya untuk mengeluarkan diri mereka daripada belenggu kemiskinan. Inilah hikmah zakat dalam membangunkan ekonomi ummah. 

Hadir sama dalam majlis tersebut, Dato Hj Abdul Rahman B Ibrahim (Ketua Eksekutif PKNK), Hj Bukhari B Abdullah (Pengurus Besar Korporat), Abdul Rahim B Man (Pengurus Operasi) dan pegawai PKNK yang lain.               

No comments:

Post a Comment