Friday 26 August 2011

Majlis berbuka puasa dan sumbangan YAB MB


Pejabat YAB Menteri Besar sekali lagi menganjurkan majlis berbuka puasa di kediamannya di Sri Mentalon pada 24 Ogos 2011. Kali ini tetamu undangan beliau ialah golongan ibu tunggal, anak-anak yatim, fakir miskin dan muallaf dari seluruh daerah. Seramai 27 penerima sumbangan telah dikenalpasti dalam seluruh DUN Negeri Kedah. Mereka menerima barangan keperluan hari raya dan wang tunai RM 150 setiap orang. YB Dato Ir Hj Phahrolrazi mewakili YAB Menteri Besar menyampaikan sumbangan. 



Exco Penerangan dan Pembangunan Usahawan Negeri Kedah, YB Ust Hj Abd Ghani b Hj Ahmad diberi penghormatan menyampaikan sumbangan kepada penerima dalam DUN Ayer Hitam. Begitu juga bagi penerima dalam DUN masing-masing akan menerima daripada ADUN/EXCO yang hadir. Antara tetamu yang hadir  YB Dr Abdu Isa B Ismail, YB Dato Ir HJ Amirudin B Hamzah, YB Dato Mohd Taulan B Rasul, YB Penasihat Undang-Undang Negeri Dato Anas B Ahmad Zakie serta ADUN/Ahli Parlimen dan Ahli Dewan  Negara.


YB Dato Ir Hj Phahrolrazi mewakili YAB Menteri Besar sedang menyampaikan tazkirah kepada hadirin. Beliau mengingatkan kepada semua pihak agar menunaikan kewajipan sebagai orang yang beriman dengan menghulurkan sumbangan kepada golongan yang tidak bernasib baik. Tiada bezanya antara orang kaya dengan orang miskin dan berpangkat tinggi atau rendah melainkan wujud perbezaan ialah hanya mereka yang beriman dan bertaqwa kepada Allah sahaja.                                                                      


Majlis Sumbangan Aidil Fitri Koperasi Pekan Rabu


Buat julung kalinya, Koperasi Pekan Rabu Alor Setar Berhad (KPRASB) menganjurkan Majlis Sumbangan Aidil Fitri pada 22 Ogos 2011 lalu di Dataran Che Det Mall. Pihak KPRASB telah sudi menjemput saya untuk menyampaikan sumbangan tersebut. Turut serta Puan Pauziah Bt Taib (Pengurus Besar TM Kedah/Perlis), Puan Rosida Bt Ramli (Penolong Pengarah SKMM Kedah) dan AJK KPRASB.










Seramai 50 orang penerima sumbangan yang terdiri daripada ahli keluarga peniaga KPRASB, ibu tunggal, fakir miskin, OKU dan anak yatim menjadi tetamu istimewa KPRASB. Mereka menerima hamper barangan keperluan hari raya dan wang tunai sebanyak RM 100 setiap orang. KPRASB mendapat tajaan daripada TM Kedah/Perlis, Bank Rakyat, ahli korporat dan peniaga KPRASB sendiri.    


Selepas berakhir majlis tersebut, KPRASB mengambil kesempatan merakamkan gambar kenangan bersama tetamu yang hadir. KPRASB berpuashati dengan kejayaan program tersebut yang mendapat kerjasama baik daripada semua pihak dan tetamu jemputan. 

Wednesday 24 August 2011

Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Elaun MKK

Seperti biasa pada setiap tahun, YAB Menteri Besar telah menganjurkan majlis berbuka puasa bersama wakil rakyat, pegawai dan kakitangan kerajaan negeri serta MKK. Dalam majlis tersebut YAB Menteri Besar hadir dan menyampaikan tazkirah Ramadhan kepada tetamu. Dalam ucapannya, beliau menzahirkan rasa sedih kerana tidak dapat bersama dengan program yang disusun kerana bercuti disebabkan masalah kesihatan. Beliau terharu melihat sambutan yang baik daripada pelbagai kaum yang hadir dalam majlis tersebut.  

Sempena majlis tersebut, semua Pegawai Daerah telah menerima mock cheque pembayaran elaun MKK Zon Utara yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar. Setiap Pengerusi MKK akan menerima elaun mulai April - September 2011 berjumlah RM 1800 manakala Setiausaha MKK pula menerima elaun mulai Januari - September 2011juga berjumlah RM 1800. Kelihatan Penolong Pegawai Daerah Kota Setar, Puan Balkis Binti Abu Bakar menerima mock cheque daripada YB Dato Ir Phahrolrazi Bin Mohd Zawawi.

Di zon Selatan pula, YB Dato Ir Hj Amirudin B Hamzah mewakili YAB Menteri Besar turut menyampaiakn elaun Pengerusi dan Setiausaha MKK di Pusat Pengumpulan Produk Pertanian Lembah Jerai (4PLJ), Sungai Petani. Kelihatan Pegawai Daerah Bandar Baharu, Encik Abdul Rahman Bin Hj Salleh menerima mock cheque daripada YB Dato Ir Hj Amirudin B Hamzah.  
Dalam kesempatan majlis tersebut, YB Dato Ir Hj Amirudin B Hamzah turut menyampaikan tazkirah Ramadhan kepada tetamu yang hadir. Antara tetamu yang hadir ialah Exco Kerajaan Negeri, YB Dato Dr Hamdan B Mohd Khalib, YB Ustazah Siti Aisyah Bt Hj Ghazali, YB Ust Hj Abd Ghani B Hj Ahmad, YB S.Manikumar dan YB Tan Chow Kang. ADUN terdiri daripada YB HJ Abdullah Bin Jusoh, Johari B Abdullah, YB Yaakob B Hussain dan YB Senator Yusuf B Hussin dan YB Saiful Izham B Ramli. Turut serta semua pegawai daerah, penghulu dan pengerusi serta setiausaha MKK.     

Monday 22 August 2011

Kunjungan hormat Usahawan Ningxia, China

Saya menerima kunjungan hormat Mr Wilson Wang, Director dan Mr Chong Hi San, Executive Director Yu Loong International Sdn Bhd di Ningxia, China. Kedatangan mereka berdua adalah untuk membuat jemputan rasmi kepada Kerajaan negeri Kedah untuk menyertai 2011 China (Ningxia) International Investment & Trade Fair  And China - Arab States Economics and Trade Forum yang akan berlangsung pada 21 - 25 September 2011.

Dalam masa yang sama turut diadakan perbincangan ringkas tentang hasrat mereka agar kedua-dua negara China dan Kedah memikirkan suatu program yang melibatkan usahawan yang boleh menjalin hubungan dua hala dalam bidang perniagaan eksport dan import. Mereka juga mengalu-alukan kedatangan wakil kerajaan negeri Kedah ke Ningxia dalam menjalin kerjasama yang lebih erat khasnya mengadakan business matching dalam produk makanan halal dan barangan tempatan.

Selepas itu, mereka mengadakan kunjugan hormat ke pejabat Timbalan Rektor INSANIAH (Akademik)untuk mendapat gambaran yang jelas tentang bidang pendidikan Islam yang mana terdapat rakyat negara China yang belajar di sini.  



Friday 12 August 2011

Majlis Perasmian Kompleks Pusat Islam UUM dan Berbuka Puasa

Kebawah Duli Yang Maha Tuanku Sultan Kedah dan Sultanah Kedah telah mencemar duli berangkat ke Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 11 Ogos 2011 jam 6.00 petang sempena majlis perasmian Kompleks Pusat Islam UUM. Sebagai Canselor UUM, baginda turut serta dalam majlis berbuka puasa bersama  pegawai dan kakitangan UUM. Turut serta Pro-Canselor, Ahli Majlis Universiti, Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor, Mufti Negeri Kedah,  Exco Kerajaan Negeri, Ust Hj Abd Ghani B Hj Ahmad, ADUN Bukit Kayu Hitam, Dato Hj Ahmad Zaini B Japar.
   
Tuanku Canselor menandatangani plak perasmian Kompleks Pusat Islam UUM yang bernilai RM 6,525,680.70 yang dibina dalam RMK 9 melalui peruntukkan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Kompleks tersebut mula dibina pada 10 November 2008 dan siap pada Disember 2010. Kompleks ini beroperasi sebagai pusat pentadbiran dalam meninggikan syiar Islam di kalangan warga universiti di samping menyediakan ruang yang lebih besar untuk Pusat Islam bergerak menerusi program dan aktiviti yang dirancang pada setiap masa.  


 Dalam titah ucapan, Tuanku Canselor berasa sungguh gembira kerana Kompleks Pusat Islam berjaya disiapkan mengikut jadual. Pembinaaan kompleks ini menjadi bukti bahawa UUM sangat bersungguh-sungguh untuk membangunkan dan membudayakan masyarakat yang berilmu dan sentiasa mendapat keredhaan Allah. Baginda menaruh keyakinan dengan adanya kompleks ini, Pusat Islam akan dapat mempertingkatkan aktiviti berkaitan keagamaan, kerohanian, dakwah, ceramah, forum, kursus, latihan dan sebagainya kepada warga UUM.

 Dalam majlis tersebut, Tuanku Canselor diberi penghormatan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 5 orang masyarakat yang tinggal di sekitar kampus UUM.

Tuanku Canselor menyerahkan wang zakat pendapatan pegawai dan kakitangan UUM sebanyak RM 1,195,000.00 dan wang zakat anak syarikat UUM iaitu UMSB sebanyak RM 35,000 kepada Dato Syeikh Ghazali B Yaakob, Setiausaha Jabatan Zakat Negeri Kedah. 

Tuanku Canselor menerima cenderamata berupa Netbook yang mengandungi perisian pembelanjaran Al-Quran yang baru dilancarkan oleh Prof Dato Dr Mohamad Musatafa B Ishak, Naib Canselor UUM. 

Majlis Penyampaian Bantuan Am Pejabat Kebajikan Daerah Kubang Pasu

Majlis tersebut telah diadakan pada 11 Ogos 2011 jam 10.30 pagi di Dewan Padang Sera, Kodiang. Saya diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan sempena majlis tersebut. Turut kelihatan ialah Hj Zulkiply B Hj Ramli Pengarah JKM Negeri, Puan Ayu Bismin Bt Ahmad Penolong Pengarah Jabatan Audit Negeri, Hj Shabbri B Othman Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kubang Pasu dan Hussain B Omar Penghulu Mukim Jerlun. Turut serta Pegawai Khas Exco Wan Yusof, Pengarah PKD Kota Siputeh, Mohd Asri B Ghazali, Kakitangan Pejabat Kebajikan Daerah, MKK dan 100 orang penerima sumbangan tetap.   

Dalam ucapan tersebut, saya menarik perhatian kepada penerima sumbangan agar menanamkan sifat syukur di atas nikmat yang diberikan Allah. Mereka bernasib baik mendapat bantuan bulanan JKM disebabkan maklumat yang diberikan adalah benar dan tulus ikhlas. Jika bantuan yang diterima disebabkan maklumat yang diberikan tidak benar maka bantuan yang diterima tidak mendatangkan barakah dan akan hilang dengan cepat. Sempena Ramadhan ini, kita jangan lupa simpan wang yang diterima sebanyak RM 7.00 sebagai zakat fitrah. kadangkala ada penerima sumbangan menghabiskan wang dengan tujuan lain tanpa disedari kewajipan mengeluarkan fitrah.   

Seramai 6200 orang klien JKM di Daerah Kubang Pasu sehingga Julai 2011. Walaubagaimanapun terdapat 34 orang penerima sumbangan yang bertindih di mana dalam masa yang sama mereka juga mendapat bantuan zakat daripada Jabatan Zakat Negeri Kedah. Dalam hal ini, JKM telah membuat pemutihan di mana seramai 30 orang diserahkan kepada Jabatan Zakat manakala 4 orang kekal di bawah JKM. Selain menerima sumbangan wang bulanan RM 150.00, mereka juga turut menerima sumbangan hamper barangan keperluan menyambut hari raya yang disediakan oleh PKWR Ayer Hitam.  
Selain daripada penerima bantuan am tetap bulanan, turut disampaikan bantuan kerusi roda kepada 3 orang pesakit yang juga terdiri di kalangan ahli keluarga klien JKM. Begitu juga insentif kepada 11 orang anak klien JKM yang membuat latihan di Pejabat Kebajikan Daerah Kubang Pasu turut diberikan setiap seorang RM 500.00 di atas khidmat bakti mereka membantu JKM Daerah Kubang Pasu.


 

Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan Ke 54 Peringkat Negeri Kedah

Majlis Pelancaran Bulan Kemerdekaan ke-54 Peringkat Negeri Kedah diadakan pada 16 Ogos 2011 jam 3.00 petang di Star Walk ,Jalan Tunku Ibrahim, Alor Setar, Kedah Darul Aman. Majlis tersebut akan dirasmikan pelncarannya oleh YB Dato Ir Hj Phahrolrazi Bin Mohd Zawawi mewakili  YAB Dato Seri Menteri Besar Kedah. Turut hadir Ahli-Ahli  Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Wakil Rakyat, Ketua-Ketua Jabatan Negeri dan Persekutuan, Pegawai Daerah, Yang DiPertua Majlis Daerah, Ahli Majlis, NGO dan Syarikat swasta/korporat 
Dalam majlis tersebut, YB Dato Ir Phahrolrazi telah menyampaikan ucapan tentang Bulan Kemerdekaan, melakukan gimik pelancaran dengan melepaskan belon Bendera Malaysia ke udara, menyerahkan bendera Malaysia kepada wakil jabatan kerajaan, sektor swasta/korporat, NGO dan sebagainya. Beliau turut memasang bendera Malaysia pada kenderaan terpilih daripada kelab Proton, Motorsikal berkuasa tinggi dan juga teksi.




 
     

Monday 8 August 2011

Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-54 Peringkat Negeri Kedah

Petang tadi berlangsung mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-54 Peringkat Negeri Kedah yang telah ditetapkan sambutan secara serentak di Peringkat Persekutuan dan di seluruh negeri pada 16 September 2011. Sepatutnya sambutan tersebut berlangsung pada 31 Ogos pada setiap tahun tetapi oleh kerana tahun 2011, tarikh tersebut bertembung dengan Hari Raya Kedua Aidil Fitri maka tarikhnya diubah kepada 16 September sempena Hari Malaysia.

Sambutan Hari Kemerdekaan akan bermula pada 16 Ogos 2011 di mana majlis pelancaran dan penyerahan bendera Malaysia akan disampaikan oleh  Exco Kanan Kerajaan Negeri, YB Dato Ir Hj Phahrolrazi B Mohd Zawawi.  Kemudian acara selanjunya ialah Ambang Merdeka pada 15 September 2011 mulai jam 10 - 12 tengahmalam di Perkarangan Stadium Darul Aman di mana sebelumnya diadakan majlis bacaan Yaasin dan Tahlil di Masjid Zahir, Alor Setar. Sambutan Ambang Merdeka  jatuh pada malam Jumaat dan pengisian program pada malam tersebut  akan disesuaikan dengan majlis yang berunsur keagamaan dan patriotik selaras dengan Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan 1997.    

Acara kemuncak sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini ialah majlis perarakan kontijen yang akan disertai jabatan/agensi kerajaan, sektor swasta/korporat, persatuan dan badan  bukan kerajaan (NGO), persatuan pelajar sekolah menengah/rendah, pasukan beruniform dan sebagainya. Oleh kerana 16 September 2011 jatuh pada hari Jumaat maka sambutannya akan dibuat pada 7.30 pagi dan akan tamat sekitar jam 12.30 tengahari di Jalan Tunku Ibrahim berhadapan Pekan Rabu. Selepas solat Jumaat, majlis jamuan teh akan diadakan dan penyampaian hadiah kepada pasukan yang cemerlang dalam majlis perarakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Kedah Darul Aman.                

Saturday 6 August 2011

Kebajikan : Adakah hanya di bulan Ramadhan sahaja ?

Sejak mula kita menjalani ibadah ramadhan tanggal 1 Ramadhan hingga ke hari ini, hampir setiap hari ada sahaja majlis penyampaian sumbangan dan bantuan kepada orang fakir miskin, ibu tunggal/ibu tinggal, anak yatim, saudara baru dan beberapa asnaf yang lain. Saya juga salah seorang yang dijemput untuk meraikan majlis yang dianjurkan samada oleh pihak kerajaan, pihak NGO atau parti dan kadang-kadang diberi peluang untuk menyampaikan sumbangan tersebut. Pihak saya juga tidak ketinggalan turut sama menyalurkan sumbangan kepada golongan yang sama.

Baru sebentar tadi, saya dijemput oleh PERKIM cawangan Ayer Hitam dengan kerjasama Surau Siti Aminah, Sungai Korok, Alor Biak menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai. Barangan tersebut dan wang tunai disediakan oleh syarikat korporat yang ada nama di Ayer Hitam di mana bossnya juga orang politik yang berbeza dengan saya. Saya juga berpeluang menyampaikan tazkirah Ramadhan kepada semua golongan di atas seramai 130 orang dan Ahli Jawatankuasa Penganjur.   

Terfikir sejenak difikiran saya mengapa semua pihak begitu gemar membuat kebajikan di bulan Ramdhan sahaja ? Sedangkan di bulan yang lain mereka agak kurang atau jarang menganjurkan bantuan sedemikian. Bukankah nasib golongan tersebut telah lama wujud, bukan terjadi ketika bulan Ramdhan. Betul, saya akui bahawa ganjaran membuat kebajikan di bulan Ramdhan antara 10 - 700 kali ganda. Apakah niat sebenar kebajikan yang kita buat? Nak dapat ganjaran semata-mata atau nak penuhi hak dan kewajipan terhadap golongan yang berhak di sisi Allah.

Sebelum ini nasib golongan ini agak sukar mendapat bantuan biarpun diberikan bukti dan dokumen bertulis bahawa mereka terdiri di kalangan golongan di atas. Pelbagai tanggapan negatif diberikan kepada mereka hingga kadang-kadang permohonan mereka ditolak dengan alasan tiada peruntukkan, syarikat tidak untung, tiada keputusan sebab mesyuarat belum putus lagi dan berbagai-bagai alasan yang diberikan. Akhirnya, tempat mengadu mereka ialah Pusat Khidmat Wakil Rakyat samada mereka datang sendiri atau melalui ketua kampong. Pusat Khidmat Wakil Rakyat pula akan berusaha untuk memenuhi permintaan tersebut samada menyediakan peruntukkan melalui bajet wakil rakyat atau memperolehi sumbangan-sumbangan atas iniasitif sendiri. Itulah hakikat kehidupan seseorang wakil rakyat yang tidak dapat tidak 'mengatasi' masalah mereka.

Justeru itu,  saya berpandangan bahawa semua pihak yang berautoriti samada di pihak agensi kerajaan/korporat, Badan Kebajikan dan Badan Sukarela atau apa sahaja yang ada seharusnya memudahcara fungsi mereka dengan cepat dan berkesan. Apa yang diharapkan oleh golongan ini ialah apa yang dihajati akan tercapai. Mereka kurang periksa tentang prosedur permohonan.Yang penting bagi mereka ialah mereka dapat apa yang mereka nak. Tidak dinafikan bahawa ada sesetengah pihak menjalankan fungsi mereka dengan baik dan cepat. Tapi ada sesetengah pula cuba melambat-lambatkan dengan pelbagai alasan. Inilah yang dinamakan karenah birokrasi. Bekas Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Bin Ahmad Badawi pernah mengeluh tentang karenah birokrasi di jabatan kerajaan yang fungsi jabatan tersebut ada kaitan langsung dengan rakyat di bawah.     

Pada hemat saya, amal kebajikan mesti dilakukan pada setiap masa dan ketika. Jangan hanya tunggu bulan Ramdhan tiba baru nak cadang buat kebajikan atau memprogramkan kebajikan. Kita penuhi seruan Allah dalam Al-Quran : " Marilah berlumba-lumba membuat kebajikan". Dalam hal ini, biarlah kita mengukur niat sebenar kita dalam membuat kebajikan. Kitalah yang mampu memberi jawapan sebenar.           
           

Friday 5 August 2011

Majlis Penyampaian Sumbangan kepada Guru Al-Quran dan Bidan peringkat Daerah Kubang Pasu telah diadakan pada hari ini di Masjid Lembah Keriang, Changloon. Majlis ini dianjurkan oleh Pejabat YAB Menteri Besar Kedah sejak 2009 lalu. Exco Kerajaan Negeri YB Dato Hj Mohamed Taulan B Mat Rasul hadir mewakili YAB Menteri Besar disebabkan YAB Menteri besar sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara. Turut kelihatan dalam majlis tersebut, Speaker DUN YB Dato Dr Abdu Isa B Ismail, Exco Kerajaan Negeri, YB Ust Hj Abd Ghani B Hj Ahmad, ADUN Bukit Kayu Hitam YB Dato Ahmad Zaini B Japar, Pengurus Besar YINK Hj Abdul Rahman B Ismail dan Wakil Pegawai Daerah Encik Norazman B Nordin serta penghulu.          

Seramai 824 orang penerima sumbangan yang terdiri guru Al-Quran/Tajwid dan Bidan hadir dalam majlis tersebut. Mereka menerima sumbangan wang tunai setiap seorang RM 150 dan barangan keperluan harian. Sumbangan disediakan oleh Yayasan Islam Negeri Kedah dan diselaraskan oleh Pejabat Daerah Kubang Pasu. Sumbangan disampaikan oleh YB Dato Taulan, YB Dato Dr Abdul Isa dan YB Ust Hj Abd Ghani. Rata-rata di kalangan penerima berpuashati dengan sumbangan yang diterima dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang begitu prihatin dengan fungsi mereka membangunkan masyarakat. Mereka sedar bahawa kerjaya mereka tidak pernah diberi perhatian sebelum ini dan tindakan yang dibuat oleh Kerajaan Negeri membuktikan pengiktirafan terhadap kerjaya mereka yang mulia. Mereka juga gembira kerana sumbangan yang diterima dapat dimanfaatkan untuk persiapan menyambut Hari Raya Aidil Fitri tidak lama lagi.   

YB Dato Hj Mohamed Taulan B Mat Rasul menerima cenderahati daripada Pejabat Daerah Kubang Pasu kerana sudi merasmikan majlis penyampaian sumbangan tersebut.

Majlis Penyampaian Bantuan Sempena Hari Raya Aidil Fitri 2011

Majlis Penyampaian Sumbangan Sempena Hari Raya Aidil Fitri 2011 telah diadakan di Dewan Wawasan Gemilang, Sik. Majlis tersebut diserikan lagi dengan keberangkatan Sultanah Kedah, Tuanku Hajjah Hamimah Binti Hj Hamidun yang turut menyampaikan sumbangan tersebut.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Persatuan Wanita Kedah di Wilayah Persekutuan/Selangor dengan kerjasama Pejabat Daerah Sik. Turut serta dalam majlis tersebut ialah Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan iaitu YB Ustazah Hjh Aishah Bt Hj Ghazali selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, YB Ust Hj Abd Ghani B Hj Ahmad dan YB S.Manikumar. Selain daripada itu antara kenamaan lain ialah YB Che Uda B Che Nik Ahli Parlimen Sik, YB Hj Yahya B Abdullah ADUN Jeneri, Datuk Ismail B Said Pegawai Daerah Sik, Datin Wira Hasnah Bt Abu Samah Pengerusi Persatuan Wanita Kedah di Wilayah Persekutuan/Selangor, Penghulu Mukim, Ahli Majlis dan Pengerusi MKK/Ketua Komuniti. 
             
Seramai 150 orang penerima bantuan yang terdiri di kalangan fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim dan OKU daripada 4 Mukim dalam Daerah Sik. Sumbangan diberikan dalam bentuk barangan keperluan harian dan wang tunai. Sumbangan tersebut disalurkan oleh Yayasan Sultanah Hamimah yang mana baru sahaja ditubuhkan pada 15 Julai 2011 lalu. Dalam majlis tersebut, para dermawan dialu-alukan untuk menghulurkan sumbangan melalui Yayasan Sultanah Hamimah agar banyak program kebajikan dapat dilaksanakan.   


Tuesday 2 August 2011

Majlis Berbuka Puasa Dan Tazkirah

Majlis Berbuka Puasa anjuran Pejabat YAB Menteri Besar Kedah di Sri Mentaloon hari ini nampaknya dingin dan hambar. Juadah berbuka puasa berlebihan dan bilangan tetamu tidak penuh di meja yang diatur. Faktor kehadiran yang kurang memuaskan disebabkan sangkaan tetamu bahawa YAB MB tidak dapat hadir telah meniti di bibir sebelum majlis berlangsung. Majlis tersebut merupakan program rutin pada setiap tahun yang dianjurkan untuk meraikan semua wakil rakyat, ketua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan, Ahli Lembaga Pengarah GLC, Ahli Majlis dan MKK/Komuniti.

Bagi meneruskan majlis tersebut, YAB MB telah mewakilkan kepada YB Dato Ir Hj Phahrolrazi B Mohd Zawawi, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan untuk hadir dan menyampaikan tazkirah Ramadhan. Alhamdulillah, wakil MB dapat mengulas tazkirah dengan baik biarpun tidak sama dengan tazkirah yang disampaikan oleh YAB MB pada tahun-tahun sebelumnya.           


Majlis tersebut turut dihadiri oleh kaum bukan Islam antaranya YB Tan Chow Kang, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan, YB Lee Guan Aik ADUN Kota Darulaman dan Ahli Majlis daripada kaum Cina dan India. kehadiran mereka menandakan sokongan yang padu terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat sekarang dan sekaligus membuktikan bahawa corak pentadbiran sekarang tidak membezakan antara kaum dan budaya asalkan Kedah Sejahtera : Nikmat Untuk Semua.