Friday 12 August 2011

Majlis Perasmian Kompleks Pusat Islam UUM dan Berbuka Puasa

Kebawah Duli Yang Maha Tuanku Sultan Kedah dan Sultanah Kedah telah mencemar duli berangkat ke Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 11 Ogos 2011 jam 6.00 petang sempena majlis perasmian Kompleks Pusat Islam UUM. Sebagai Canselor UUM, baginda turut serta dalam majlis berbuka puasa bersama  pegawai dan kakitangan UUM. Turut serta Pro-Canselor, Ahli Majlis Universiti, Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor, Mufti Negeri Kedah,  Exco Kerajaan Negeri, Ust Hj Abd Ghani B Hj Ahmad, ADUN Bukit Kayu Hitam, Dato Hj Ahmad Zaini B Japar.
   
Tuanku Canselor menandatangani plak perasmian Kompleks Pusat Islam UUM yang bernilai RM 6,525,680.70 yang dibina dalam RMK 9 melalui peruntukkan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Kompleks tersebut mula dibina pada 10 November 2008 dan siap pada Disember 2010. Kompleks ini beroperasi sebagai pusat pentadbiran dalam meninggikan syiar Islam di kalangan warga universiti di samping menyediakan ruang yang lebih besar untuk Pusat Islam bergerak menerusi program dan aktiviti yang dirancang pada setiap masa.  


 Dalam titah ucapan, Tuanku Canselor berasa sungguh gembira kerana Kompleks Pusat Islam berjaya disiapkan mengikut jadual. Pembinaaan kompleks ini menjadi bukti bahawa UUM sangat bersungguh-sungguh untuk membangunkan dan membudayakan masyarakat yang berilmu dan sentiasa mendapat keredhaan Allah. Baginda menaruh keyakinan dengan adanya kompleks ini, Pusat Islam akan dapat mempertingkatkan aktiviti berkaitan keagamaan, kerohanian, dakwah, ceramah, forum, kursus, latihan dan sebagainya kepada warga UUM.

 Dalam majlis tersebut, Tuanku Canselor diberi penghormatan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 5 orang masyarakat yang tinggal di sekitar kampus UUM.

Tuanku Canselor menyerahkan wang zakat pendapatan pegawai dan kakitangan UUM sebanyak RM 1,195,000.00 dan wang zakat anak syarikat UUM iaitu UMSB sebanyak RM 35,000 kepada Dato Syeikh Ghazali B Yaakob, Setiausaha Jabatan Zakat Negeri Kedah. 

Tuanku Canselor menerima cenderamata berupa Netbook yang mengandungi perisian pembelanjaran Al-Quran yang baru dilancarkan oleh Prof Dato Dr Mohamad Musatafa B Ishak, Naib Canselor UUM. 

No comments:

Post a Comment