Friday 12 August 2011

Majlis Penyampaian Bantuan Am Pejabat Kebajikan Daerah Kubang Pasu

Majlis tersebut telah diadakan pada 11 Ogos 2011 jam 10.30 pagi di Dewan Padang Sera, Kodiang. Saya diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan sempena majlis tersebut. Turut kelihatan ialah Hj Zulkiply B Hj Ramli Pengarah JKM Negeri, Puan Ayu Bismin Bt Ahmad Penolong Pengarah Jabatan Audit Negeri, Hj Shabbri B Othman Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kubang Pasu dan Hussain B Omar Penghulu Mukim Jerlun. Turut serta Pegawai Khas Exco Wan Yusof, Pengarah PKD Kota Siputeh, Mohd Asri B Ghazali, Kakitangan Pejabat Kebajikan Daerah, MKK dan 100 orang penerima sumbangan tetap.   

Dalam ucapan tersebut, saya menarik perhatian kepada penerima sumbangan agar menanamkan sifat syukur di atas nikmat yang diberikan Allah. Mereka bernasib baik mendapat bantuan bulanan JKM disebabkan maklumat yang diberikan adalah benar dan tulus ikhlas. Jika bantuan yang diterima disebabkan maklumat yang diberikan tidak benar maka bantuan yang diterima tidak mendatangkan barakah dan akan hilang dengan cepat. Sempena Ramadhan ini, kita jangan lupa simpan wang yang diterima sebanyak RM 7.00 sebagai zakat fitrah. kadangkala ada penerima sumbangan menghabiskan wang dengan tujuan lain tanpa disedari kewajipan mengeluarkan fitrah.   

Seramai 6200 orang klien JKM di Daerah Kubang Pasu sehingga Julai 2011. Walaubagaimanapun terdapat 34 orang penerima sumbangan yang bertindih di mana dalam masa yang sama mereka juga mendapat bantuan zakat daripada Jabatan Zakat Negeri Kedah. Dalam hal ini, JKM telah membuat pemutihan di mana seramai 30 orang diserahkan kepada Jabatan Zakat manakala 4 orang kekal di bawah JKM. Selain menerima sumbangan wang bulanan RM 150.00, mereka juga turut menerima sumbangan hamper barangan keperluan menyambut hari raya yang disediakan oleh PKWR Ayer Hitam.  
Selain daripada penerima bantuan am tetap bulanan, turut disampaikan bantuan kerusi roda kepada 3 orang pesakit yang juga terdiri di kalangan ahli keluarga klien JKM. Begitu juga insentif kepada 11 orang anak klien JKM yang membuat latihan di Pejabat Kebajikan Daerah Kubang Pasu turut diberikan setiap seorang RM 500.00 di atas khidmat bakti mereka membantu JKM Daerah Kubang Pasu.


 

No comments:

Post a Comment