Saturday 6 August 2011

Kebajikan : Adakah hanya di bulan Ramadhan sahaja ?

Sejak mula kita menjalani ibadah ramadhan tanggal 1 Ramadhan hingga ke hari ini, hampir setiap hari ada sahaja majlis penyampaian sumbangan dan bantuan kepada orang fakir miskin, ibu tunggal/ibu tinggal, anak yatim, saudara baru dan beberapa asnaf yang lain. Saya juga salah seorang yang dijemput untuk meraikan majlis yang dianjurkan samada oleh pihak kerajaan, pihak NGO atau parti dan kadang-kadang diberi peluang untuk menyampaikan sumbangan tersebut. Pihak saya juga tidak ketinggalan turut sama menyalurkan sumbangan kepada golongan yang sama.

Baru sebentar tadi, saya dijemput oleh PERKIM cawangan Ayer Hitam dengan kerjasama Surau Siti Aminah, Sungai Korok, Alor Biak menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian dan wang tunai. Barangan tersebut dan wang tunai disediakan oleh syarikat korporat yang ada nama di Ayer Hitam di mana bossnya juga orang politik yang berbeza dengan saya. Saya juga berpeluang menyampaikan tazkirah Ramadhan kepada semua golongan di atas seramai 130 orang dan Ahli Jawatankuasa Penganjur.   

Terfikir sejenak difikiran saya mengapa semua pihak begitu gemar membuat kebajikan di bulan Ramdhan sahaja ? Sedangkan di bulan yang lain mereka agak kurang atau jarang menganjurkan bantuan sedemikian. Bukankah nasib golongan tersebut telah lama wujud, bukan terjadi ketika bulan Ramdhan. Betul, saya akui bahawa ganjaran membuat kebajikan di bulan Ramdhan antara 10 - 700 kali ganda. Apakah niat sebenar kebajikan yang kita buat? Nak dapat ganjaran semata-mata atau nak penuhi hak dan kewajipan terhadap golongan yang berhak di sisi Allah.

Sebelum ini nasib golongan ini agak sukar mendapat bantuan biarpun diberikan bukti dan dokumen bertulis bahawa mereka terdiri di kalangan golongan di atas. Pelbagai tanggapan negatif diberikan kepada mereka hingga kadang-kadang permohonan mereka ditolak dengan alasan tiada peruntukkan, syarikat tidak untung, tiada keputusan sebab mesyuarat belum putus lagi dan berbagai-bagai alasan yang diberikan. Akhirnya, tempat mengadu mereka ialah Pusat Khidmat Wakil Rakyat samada mereka datang sendiri atau melalui ketua kampong. Pusat Khidmat Wakil Rakyat pula akan berusaha untuk memenuhi permintaan tersebut samada menyediakan peruntukkan melalui bajet wakil rakyat atau memperolehi sumbangan-sumbangan atas iniasitif sendiri. Itulah hakikat kehidupan seseorang wakil rakyat yang tidak dapat tidak 'mengatasi' masalah mereka.

Justeru itu,  saya berpandangan bahawa semua pihak yang berautoriti samada di pihak agensi kerajaan/korporat, Badan Kebajikan dan Badan Sukarela atau apa sahaja yang ada seharusnya memudahcara fungsi mereka dengan cepat dan berkesan. Apa yang diharapkan oleh golongan ini ialah apa yang dihajati akan tercapai. Mereka kurang periksa tentang prosedur permohonan.Yang penting bagi mereka ialah mereka dapat apa yang mereka nak. Tidak dinafikan bahawa ada sesetengah pihak menjalankan fungsi mereka dengan baik dan cepat. Tapi ada sesetengah pula cuba melambat-lambatkan dengan pelbagai alasan. Inilah yang dinamakan karenah birokrasi. Bekas Perdana Menteri Kelima, Tun Abdullah Bin Ahmad Badawi pernah mengeluh tentang karenah birokrasi di jabatan kerajaan yang fungsi jabatan tersebut ada kaitan langsung dengan rakyat di bawah.     

Pada hemat saya, amal kebajikan mesti dilakukan pada setiap masa dan ketika. Jangan hanya tunggu bulan Ramdhan tiba baru nak cadang buat kebajikan atau memprogramkan kebajikan. Kita penuhi seruan Allah dalam Al-Quran : " Marilah berlumba-lumba membuat kebajikan". Dalam hal ini, biarlah kita mengukur niat sebenar kita dalam membuat kebajikan. Kitalah yang mampu memberi jawapan sebenar.           
           

No comments:

Post a Comment